Header Ads

Mencari Damai Di Little England

Mencari Damai Di Little England
KETIKA bercerita tentang pengalaman membesar di Bukit Fraser, Pahang, wajahnya tidak lekang dengan senyuman dek banyaknya kenangan manis yang mula tergambar di benak fikiran.


Masih segar dalam ingatannya ketika di zaman persekolahan, saat itu bukan sahaja tiada telefon pintar malah, televisyen juga jauh sekali menjadi salah satu kelengkapan rumah sekitar tahun 1960-an.

Apa yang ada hanyalah jaringan komuniti yang sangat akrab antara masyarakat pelbagai kaum.

Malah, Sanadurai Katarsingh, 67, yang ketika itu masih bersekolah tidak pernah bosan menetap di kawasan terpencil di atas puncak bukit setinggi 1,420 meter dari aras laut itu.

Sanadurai merupakan anak jati kelahiran Bukit Fraser. Menurutnya, sebagai seorang penduduk yang membesar di situ banyak perubahan yang telah berlaku sekali gus membuatkan dia merindui zaman kanak-kanaknya.

“Nak diceritakan, Bukit Fraser ketika saya kecil, banyak kisah menarik namun yang paling diingati adalah kenangan bersama rakan-rakan dan penduduk di sini ketika itu.

“Kami hidup umpama satu keluarga. Orang Melayu, Cina dan India semuanya sentiasa tolong menolong, malah mereka juga boleh bercakap dalam tiga bahasa yang menjadikan hubungan penduduk di sini sangat erat,” katanya ketika ditemui K2 di Bukit Fraser baru-baru ini.

Jalan kaki lapan jam

Tambahnya, meskipun berbeza agama, setiap kali keraian semua penduduk akan bergotong-royong bukan sahaja membantu persiapan di rumah tetapi juga di rumah ibadat. Ia adalah rutin dan tradisi penduduk yang hanya seramai kira-kira 800 orang ketika itu.

Tidak terkecuali hubungannya bersama-rakan-rakan.

Bukan sahaja bersukan, mereka juga bersama-sama keluar ke pekan Raub menaiki perkhidmatan bas yang hanya dijadualkan ke laluan Bukit Fraser sekali sehari untuk pergi dan balik semata-mata untuk menonton wayang.

“Saya masih teringat ketika itu kami semua ketinggalan bas. Saya dan rakan-rakan memutuskan untuk berjalan kaki ke pekan Raub yang mengambil masa lebih lapan jam. Setibanya di sana kami menonton wayang dan tidur di panggung wayang sebelum pulang menaiki bas awal pagi keesokannya.

“Suasana di Bukit Fraser tidak lagi seperti dahulu, namun sehingga kini sebahagian bangunan yang terbina sejak tahun 1919 juga masih utuh.

“Bagaimanapun suhu di sini tidak seperti dahulu. Dahulu, sebelum pukul 7 malam, semua perlu berada di rumah dek cuaca sejuk yang boleh mencecah sehingga 10 darjah Celsius,” ujarnya yang kini berkhidmat sebagai pemandu pelancong di Bukit Fraser.

Bukit Fraser telah dibuka sebagai sebuah kawasan perlombongan dalam kurun ke-19. Ia diberi nama berasaskan kisah kehilangan seorang pengembara Scotland, Louis James Fraser.

Berkeluasan 6,930 hektar, sehingga kini hanya 30 peratus kawasan tersebut yang dibangunkan. Bukit Fraser yang terletak kira-kira 104 kilometer (km) dari Kuala Lumpur itu menawarkan pemandangan dan kehijauan semula jadi di samping kepelbagaian spesies burung, flora dan fauna.

Pelancaran

Memiliki khazanah hutan yang masih terpelihara daripada pembangunan melampau, ia menjadi tumpuan para pencinta alam.

Suhu Bukit Fraser kini adalah sekitar 15 hingga 24 Celsius sepanjang tahun. Ia merupakan salah satu tempat peranginan tanah tinggi berseni bina Inggeris yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Pembangunannya sebagai kawasan rehat telah dimulakan setelah menerima cadangan Bishop Fergusion-Davie yang dipersetujui pada awal kurun ke-20 oleh pemerintah Inggeris.

Bersempena 100 tahun pembukaan Bukit Fraser yang secara rasminya dibangunkan sebagai pusat peranginan selepas berakhirnya industri perlombongan pada tahun 1919, Tourism Pahang telah menganjurkan Majlis Sambutan Perayaan 100 Tahun Bukit Fraser (1919–2019) bertujuan mengimbau sejarah awal pembukaan Bukit Fraser.

Majlis pelancaran sambutan itu telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar berkata, Bukit Fraser merupakan salah satu lokasi pelancongan dan ikon utama di negeri Pahang selain dikenali sebagai Little England.

Menurutnya, berbeza dengan tanah tinggi lain seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands, lokasi ini lebih memberikan pengalaman mendamaikan kerana ia masih mengekalkan identiti, selain menjadi pusat pelancongan berteraskan konsep alam sekitar.

“Bukit Fraser mempunyai sejarah tersendiri selain keunikan seni bina yang merupakan inspirasi daripada kampung halaman Louis James. Konsep percutiannya juga berbeza kerana ia mengetengahkan keindahan flora fauna di kawasan tanah tinggi bercuaca sejuk yang masih terpelihara.

“Selain itu, terdapat juga pelbagai aktiviti lain seperti berkuda, lawatan ladang strawberi, meneroka biodiversiti alam melalui jalan denai dan riadah bermain golf di padang sembilan lubang yang dahulunya merupakan bekas lombong biji timah pada kurun ke-19,” jelasnya.

Tambahnya, selama 100 tahun, Bukit Fraser masih menjadi lokasi pilihan pelancong yang mahu lari daripada kesibukan kota dan beralih kepada keindahan alam dengan cuaca yang nyaman.

Jelas beliau, tahun lalu seramai 103,649 orang telah berkunjung ke Bukit Fraser yang rata-ratanya merupakan pencinta alam dari dalam dan luar negara.

Pelancong

Selain mengangkat bukit Fraser menerusi keunikan sedia ada, pihak Tourism Pahang turut menjalankan pelbagai aktiviti bagi menjana tarikan pelancong.

Antaranya adalah Pertandingan Mengejar Burung Antarabangsa Bird Race, Music of The Hill dan The Olders Golf Course Challanges yang diadakan antara April hingga Jun setiap tahun.

“Pihak kami juga telah mengenal pasti lokasi tinggal seperti tanah lapang, rumah dan bangunan lama untuk diguna semula dengan membina tarikan baharu di Bukit Fraser. Bagaimanapun, proses itu tidak akan melibatkan penebangan pokok baharu, sebaliknya memanfaat lokasi sedia ada,” ujarnya.

Sementara itu seorang pelancong tempatan, Ain Nadhirah Johari, 30, memberitahu, dia mula jatuh cinta dengan Bukit Fraser selepas pertama kali datang bersama keluarga ketika berumur 15 tahun.

“Saya sering ke sini untuk bercuti dan bersantai. Kadangkala saya juga akan ke sini dengan rakan-rakan untuk melakukan aktiviti mendaki bukit melalui jalan denai.

“Bukit Fraser ada tarikan tersendiri. Ia damai dan menyenangkan selain cuaca yang sejuk, saya suka dengan seni bina bangunan lama dikawasan ini yang mana ia seperti berada di luar negara,” ujarnya.

sumber:Kosmo

No comments