Header Ads

SAKURA Berguguran Di Alor Gajah

SAKURA Berguguran Di Alor Gajah

SEKALI imbas daun lima pokok tecoma atau sakura Malaysia yang gugur di Kuarters Institut Teknologi Unggas (ITU), Masjid Tanah tidak ubah seperti musim bunga di Jepun dan Eropah.

Keindahan bunga sakura yang berguguran menjadikan kawasan itu menarik dan ceria.

Bunga putih dan merah jambu bukan hanya mengindahkan pemandangan di sekitar kuarters itu malah menambah seri kehidupan kakitangan ITU.

Penghuni kuarters, Norsidah Ammid, 50, berkata, apabila musim panas tiba antara Januari hingga hujung Mac, dia tidak melepaskan peluang bergambar di bawah pokok itu.

“Inilah antara keindahan alam ciptaan Tuhan yang harus kita syukuri. Kita boleh ambil iktibar bahawa keindahan yang tercipta itu harus dipelihara dengan tidak merosakkan alam semula jadi.

“Saya memang meminati pokok bunga dan kesempatan musim daun pokok sakura Malaysia gugur dalam tempoh singkat ini menceriakan saya sekeluarga,” katanya hari ini.



Aaira Syaffiya bermain di bawah pokok sakura di ITU. FOTO Hassan Omar

Jirannya, Nor Haryati Atman, 40, berkata, sejak daun pokok itu gugur kelmarin, dia merakamkan gambar anaknya, Aaira Syaffiya Mohd Khairul Hisyamudin, 2, di bawah pokok.

“Saya terhibur melihat anak berjalan di atas timbunan daun putih dan merah jambu seolah-olah berada di Jepun dan Eropah,” katanya.

Isteri kakitangan ITU terbabit berkata, rakannya yang bertugas sebagai pegawai Jabatan Pertanian Melaka pernah memberitahu, musim panas dan kering yang agak lama menyebabkan proses fotosintesis pokok itu menghasilkan banyak bunga yang kemudiannya gugur.

Bagaimanapun, musim luruh daun pokok berkenaan hanyalah antara lima hingga tujuh hari.

Jumlah itu akan berkurangan beberapa hari selepas itu.

sumber:Metro

No comments