Header Ads

Cerita Ho Chi Minh, bandar paling sibuk di Vietnam.

Cerita Ho Chi Minh, bandar paling sibuk di Vietnam.
HO Chi Min atau Saigon, Vietnam, satu nama yang tidak asing lagi bagi pelancong Malaysia.
Disebabkan terlalu ramai rakyat Malaysia yang berkunjung ke bandar ini, satu jalan berdekatan Pasar Ben Thanh dikenali Jalan Melayu atau Jalan Malaysia.
Bahkan pada hujung minggu atau musim cuti sekolah, penuhlah lokasi ini dengan pelancong Malaysia, pendek kata boleh berlaga bahu.
Aktivitinya apa lagi kalau bukan membeli belah terutama baju kurung, tudung dan telekung.
Itulah cerita Ho Chi Minh, bandar paling sibuk di Vietnam.
Kali ini, apa kata kita ke bandar lain yang tidak kurang hebatnya di negara bekas komunis ini.
Perkampungan nelayan di Mui Ne.
Kunjungan penulis ke Da Lat beberapa tahun lalu agak sukar kerana tiada kedai makan halal.
Namun, kini sudah ada dua buah restoran halal iaitu Restoran Kampung Pandan dan Restoran Fatimah yang beroperasi di bandar itu, memudahkan pelancong Muslim untuk makan.
Bagaimanapun di Mu Nei, pekan di pesisir pantai Vietnam, masih belum ada lagi kedai halal, justeru makanan laut adalah pilihan terutama bagi pelancong Islam.
Meh kita tengok sikit apa yang ada dan apa aktiviti yang boleh dilakukan di Da Lat dan Mui Ne.
Sejuk dan nyamannya di Da Lat
Terletak pada kedudukan 1,500 meter dari paras laut, Da Lat satu ketika dulu adalah bandar kegemaran pegawai Perancis menghabiskan masa santai ketika penjajahan negara itu.
Justeru banyak binaan di bandar ini termasuk stesen kereta apinya turut mempunyai sentuhan seni bina Perancis.
Banyak ruang menarik untuk bergambar di Taman Bunga Da Lat.
Disebabkan cuaca sejuk dan nyaman di bandar ini, ia juga terkenal dengan beberapa taman bunga yang dibuka kepada pelancong sepanjang tahun seperti Valley of Love, Tasik Tuyen Lam, Da Lat Flower Garden dan Truc Lam Cable Car.
Bandar ini juga kaya dengan air terjun yang cantik dan menarik.
Namun, kebanyakan air terjun memerlukan pengunjung berjalan kaki beberapa kilometer untuk sampai ke kakinya.
Air Terjun Datanla di Da Lat.
Antara yang terkenal adalah Air Terjun Datanla dan Air Terjun Pongour.
Tetapi bagi Air Terjun Datanla, pengunjung mempunyai pilihan sama ada mahu berjalan kaki sejauh 2 kilometer atau menggunakan luge iaitu sejenis kenderaan kecil yang memerlukan kecekapan pengguna mengendalikannya seperti roller coster. Satu pengalaman yang menarik.
Malam di Da Lat juga tidak kurang hebatnya kerana pasar malamnya yang besar dan panjang.
Articok, sayuran yang berasal dari kawasan tanah tinggi banyak dijual di Da Lat.
Disebabkan cuaca sejuk, banyak gerai di pasar malam mini turut menjual pakaian musim sejuk, begitu juga buah-buahan dan sayur-sayuran berhawa sederhana.
Meluncur pasir dan meredah anak sungai di Mui Ne
Pekan perkampungan nelayan yang terletak 200 kilometer dari Ho Chin Minh ini bukan hanya terkenal dengan pantai berpasir sepanjang 15 kilometernya tetapi juga beberapa lokasi unik seperti padang pasir putih dan merah serta landskap batu kapur yang terjadi akibat hakisan dan perubahan bentuk muka bumi sejak ratusan ribu tahun lampau.
Puas bergambar di White Sand Dune.
Kunjungan ke pekan kecil ini, tidak sah jika tidak mencuba aktiviti meluncur pasir di White Sand Dune dan Red Sand Dune.
Satu tip, aktiviti perlu dilakukan sama ada awal pagi atau lewat petang bagi mengelakkan kaki memijak pasir yang panas.
Meredah anak sungai di Fairy Stream, Mui Ne.
Usai berseronok di padang pasir, kita ke Fairy Stream dengan berjalan sejauh 2km di air sungai cetek untuk melihat dengan lebih dekat formasi batu kapur pelbagai bentuk yang terhasil secara semulajadi.
Terdapat tasik yang tenang di White Sand Dune, Mui Ne.
Walau bagaimanapun jarak 2km tidak terasa kerana kedinginan air sungai itu.
Persinggahan di Mui Ne tidak sah jika tidak singgah di perkampungan nelayan.
Uniknya nelayan di sini menggunakan sampan bulat untuk menaikkan tangkapan.
Jika mahu merasai kemanisan makanan laut segar boleh sahaja makan ketam, udang kara, sotong dan tiram di tepi kampung itu atau beli makanan laut segar dan minta pihak hotel membakarnya sebaik tiba ke hotel untuk berehat.
sumber:Mstar

No comments