Header Ads

Lelaki Kuning dari Aleppo Tular Di Media Sosial

Lelaki Kuning dari Aleppo Tular Di Media Sosial

SETIAP individu mempunyai warna kegemaran yang tersendiri yang secara tidak langsung boleh membantu membentuk personaliti unik seseorang.

Justeru, tidak hairanlah apabila seorang lelaki kelahiran Aleppo, Syria, Abou Zakkour, 68, cukup taksub dengan warna kuning.


Lelaki tersebut dianggap obses dengan warna tersebut. Dia memakai pakaian warna tersebut sejak 35 tahun lalu.

Rona kuning yang dipakai Abou setiap hari menjadikan lelaki tinggi lampai itu digelar ‘Lelaki Kuning dari Aleppo’.
Memetik laporan laman web Oddity Central, Abou mula menggayakan pakaian berwarna kuning pada 25 Januari 1983.

“Ketika itu, setiap kali saya melihat warna kuning, saya membayangkan perasaan kasih sayang dan cinta.

“Justeru, saya nekad untuk memakai pakaian berwarna kuning sahaja,” jelasnya.

Aksesori kuning

Jelas Abou lagi, kesemua pakaiannya berwarna kuning termasuklah seluar dalam dan juga pelengkap gaya seperti gelang tangan dan kasut.

“Tali leher, gelang tangan dan juga topi semuanya berwarna kuning.

“Pernah satu ketika, saya juga mewarnakan kuku dengan rona kuning terang untuk dipadankan dengan pakaian yang digayakan,” jelasnya.

Abou juga mengakui, kebanyakan barangan rumah yang dimilikinya juga berwarna kuning.

“Kegilaan saya terhadap warna kuning bukan hanya terhadap pakaian malah saya juga turut menghias rumah dengan barangan berwarna kuning seperti cadar dan tong sampah,” tutur lelaki tersebut.

Tidak hairanlah, dia digelar sebagai ‘lelaki kuning’ oleh penduduk Aleppo yang cukup mengenali Abou.

Dibelasah

Begitu pun, Abou mengakui ramai individu yang menganggapnya memakai warna kuning kerana mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas tertentu.

Kira-kira lima tahun lalu, lelaki bermisai tebal itu pernah dibelasah oleh sekumpulan lelaki yang menyangka Abou merupakan perisik daripada sebuah kumpulan pengganas.

Dianggap mempunyai niat jahat, dia kemudian dibelasah tanpa belas kasihan oleh sekumpulan lelaki tersebut.

“Ia merupakan satu peristiwa yang tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila. Sekumpulan lelaki tersebut menuduh saya mempunyai agenda pengganas kerana memakai pakaian berwarna kuning yang sering dikaitkan dengan satu kumpulan pengganas terkenal,” jelasnya.

Biarpun dibelasah teruk, ia tidak langsung mematahkan semangat Abou kerana lelaki itu tidak melakukan jenayah.

Kegilaannya terhadap warna kuning berterusan dan fotonya mengenakan pakaian berwarna kuning sering dirakam oleh jurugambar jalanan di Syria.

Rona terang itu cukup mencuri tumpuan dan ia juga mewujudkan satu suasana yang ceria.

Tambah Abou, dia akan terus memakai pakaian berwarna kuning sehingga ke akhir hayatnya.

“Pada pandangan mata saya, warna kuning melambangkan cinta dan kasih sayang.

“Oleh itu, saya akan terus memakai pakaian berwarna kuning buat selama-lamanya,” tutur Abou.

Tidak jemu memakai pakaian berwarna kuning pada setiap hari, Abou Zakkour menjadi tular di media sosial dan diberi jolokan ‘Lelaki Kuning dari Aleppo.’

No comments