Header Ads

Kenangan Rumah Nordin Ahmad

Kenangan Rumah Nordin Ahmad

SABAK BERNAM – Bagi mengenang dan menghargai bakat pelakon Melayu klasik Allahyarham Nordin Ahmad dalam industri lakonan dan perfileman negara, sebuah rumah diberi nama ‘Rumah Nordin Ahmad’ diwujudkan di Kampung Tebuk Haji Yusof, Sungai Besar di sini.
Rumah dua tingkat yang mempunyai dua bilik itu, dibina dengan kerjasama Kelab Filem dan Muzik Melayu dan pertubuhan Komuniti Rumah Kayu, Sungai Besar. Wakil Kelab Filem dan Muzik Melayu, Hidir Ali Razali berkata rumah berkenaan mempunyai ciri hampir sama dengan rumah asal pelakon klasik 50-an itu.
“Secara peribadi, saya sendiri mengagumi bakat lakonan Allahyarham dan apabila Komuniti Rumah Kayu bertemu dengan saya dan berhasrat mewujudkan Rumah Nordin Ahmad di tanah milik mereka di sini, dua tahun lepas, saya sangat teruja untuk beri komitmen dalam perkara itu.
“Walaupun figura ini anak kelahiran Kampung Kota, Permatang Pasir, Pulau Pinang, apabila ada komuniti di Selangor yang berbesar hati mewujudkan satu tempat sebagai mercu tanda yang boleh kita kenang siapa itu Nordin Ahmad, bagi saya itu sangat bermakna, ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan ‘Rumah Nordin Ahmad’, baru-baru ini.
Turut sama merasmikan rumah berkenaan ialah selebriti tanah air, Datuk Rosyam Nor.

Datuk Rosyam Nor, Norman Shah Nordin dan Hidir Ali Razali bergambar di ‘Rumah Nordin Ahmad’ selepas majlis perasmiannya, baru-baru ini. – Bernama


Orang ramai berkesempatan melawat pameran yang terdapat di dalam rumah sempena Majlis Perasmian ‘Rumah Nordin Ahmad’ di Kampung Tebuk Haji Yusof Sungai Besar, baru-baru ini. – Bernama
Hidir Ali berkata rumah tersebut turut dilengkapi maklumat dan potret daripada koleksi peribadi Nordin Ahmad.
“Saya dan rakan-rakan daripada kelab turut menyumbang gambar pelakon itu yang kita peroleh daripada pelbagai pihak.
“Kita turut mempertontonkan visual filem-filem yang pernah dilakonkan Nordin Ahmad di rumah ini bagi mendekatkan peminat dengan Allahyarham, dan mereka juga boleh bermalam di rumah ini dengan hanya RM120 semalam,” katanya.
Sementara itu, Rosyam berkata kewujudan rumah tersebut merupakan langkah tepat dalam menghargai seniman hebat seperti Nordin Ahmad. Beliau berkata pelakon yang mampu membawa pelbagai watak sehingga meninggalkan kesan di hati penonton termasuk dalam beberapa filem seperti Panggilan Pulau, Semerah Padi dan Belantara itu, wajar dihargai.
“Secara peribadi, saya sifatkan Nordin Ahmad sebagai seorang seniman meruntun jiwa, ini kerana apabila beliau berlakon, lakonannya terasa di jiwa penonton.
“Saya harap selepas ini lebih ramai pihak yang dapat mencontohi langkah Komuniti Rumah Melayu sebagai usaha memartabatkan lagi golongan seniman di Malaysia,” katanya.
Bagi Norman Shah, 62, anak kepada Nordin Ahmad, beliau melahirkan rasa terharu kerana ada pihak yang sudi membina rumah tersebut bagi menghargai bakat lakonan bapanya.
Beliau berkata dengan kewujudan rumah itu secara tidak langsung dapat menaikkan serta memartabatkan kembali nama Nordin Ahmad.
“Pada saya usaha mereka ini satu penghargaan yang amat bermakna kepada kami sekeluarga,” katanya. – Bernama

No comments