Darlene Tanner merakam ilusi yang dikenali sebagai tiang cahaya ketika suhu di kawasan tersebut menjunam di bawah paras -30 darjah Celsius.
Fenomena itu akan terbentuk ketika zarah-zarah ais atau kristal memenuhi ruangan udara dan memantul semula cahaya daripada sumber luaran termasuk lampu jalan raya.
“Tiang cahaya adalah fenomena yang sangat pelik. Keadaan sekitar perlu bertepatan dan cuaca sangat sejuk dengan kehadiran kristal ais dalam udara,” kata Tanner.
Beberapa keping gambar dikongsi Tanner menunjukkan satu barisan panjang tiang cahaya berwarna kuning dan putih memancar ke langit selepas terkena pantulan lampu jalan raya dan kediaman berhampiran.
Kristal ais akan berperanan seperti sebuah cermin gergasi yang memantul cahaya sama ada ke atas atau bawah sekali gus membentuk tiang cahaya yang kelihatan secara menegak dari jarak jauh. – Agensi