Header Ads

Ruang Solat Ketika Melancong Di Eropah

Ruang Solat Ketika Melancong Di Eropah
SEBAGAI pelancong atau pengembara Muslim, antara kekangan untuk berada lama terutama di negara bukan Islam seperti Eropah dan beberapa negara Asia, adalah kurangnya tempat yang selesa untuk mengerjakan solat seperti surau atau masjid.

Tidak seperti di Malaysia atau negara Islam di Asia Tenggara,  di mana- mana saja ada masjid atau surau yang membolehkan pengembara atau pelancong menunaikan tanggungjawab kepada Tuhan pada bila bila masa.

Berlainan pula jika ke negara Eropah dan Afrika, walaupun sesetengah tempat ada masjid atau surau, namun ia tidak dibuka sepanjang masa, sebaliknya hanya dibuka apabila tiba waktu solat saja.




Surau di Terminal 4, Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London.

Antara alasan yang diberi antara bimbang tercetus isu diskriminasi agama dan faktor vandalisme.

Namun, sebagai hamba Allah ini bukanlah alasan untuk meninggalkan solat, sementelahan pula apabila mengembara kita diberi kelonggaran untuk memendekkan dan menghimpunkan solat menerusi kaedah solat jamak qasar bagi memudahkan perjalanan.

Sejak sedekad ini, kebanyakan lapangan terbang dan pusat beli belah besar di benua Eropah, Australia dan Amerika Syarikat  menyediakan ruang solat yang ada kala dikenali sebagai Multiple Prayer Room iaitu ruang beribadat yang dikongsi oleh semua agama termasuk Islam.

Jom lihat beberapa ruang solat selain masjid dan surau  yang boleh digunakan pengembara atau pelancong Muslim.

Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London

Setiap terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London disediakan ruang beribadah untuk semua agama dikenali sebagai Multi Fatih Chaplaincy. Bukan hanya ruang solat tetapi juga bilik berwuduk dengan sinki membasuh kaki yang agak canggih turut disediakan.



Tempat wuduk seperti kolam bagi mengelakkan kawasan di luar basah turut dilengkapi tempat duduk di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow.

Di Terminal 2 lapangan terbang itu ruang berkenaan ditempatkan di bahagian berlepas berhampiran Pintu A21, B34 dan B35.

Di Terminal 3 pula, di bahagian berlepas berhampiran pemeriksaan keselamatan di tingkat 1.

Di Terminal 4 pula, yang kebanyakan penerbangan dari Asia Tenggara mendarat dan berlepas dari sini, bilik beribadah di dua lokasi iaitu Zon G sebelum pemeriksaan keselamatan dan di bahagian berlepas berhampiran Pintu 3 dan 4.

Terminal 5 pula, beberapa bilik beribadah disediakan sebelum pemeriksaan keselamatan di Zon A dan bahagian Berlepas berhampiran Pintu A8, B34 dan C52.




Surau lelaki dan wanita yang selesa di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London.

Lapangan Terbang Antarabangsa Survanabhumi Bangkok, Thailand
Di lapangan terbang ini, tiga ruang disediakan untuk memudahkan penumpang Islam menunaikan tanggungjawab. Bilik solat disediakan di Terminal Penumpang tingkat 3, Ruang Transit di Tingkat 3 dan di bahagian berlepas di Tingkat 3 Pintu E.

Bagi memudahkan umat Islam beristinjak, tandas berhampiran bilik solat juga disediakan paip air, tidak seperti tandas lain di lapangan terbang itu.

Lapangan Terbang Interabangs Atartuk, Istanbul Turki
Ada lapan ruang solat atau lebih dikenali sebagai Mescit Bay (surau lelaki) dan Mescit Bayan (surau wanita) di Lapangan Terbang Antarabangsa Atartuk.

Dua di bahagian daftar masuk, dua di bahagian terminal transit antarabangsa, dua di bahagian ketibaan dan dua lagi di pintu berlepas Terminal Domestik.



Tunjuk arah di surau Lapangan Terbang Antarabangsa Atartuk, Istanbul Turki.

Namun, yang paling relevan dengan pelancong atau pengembara Malaysia adalah surau berdekatan Pintu 218 terminal transit antarabangsa kerana kebanyakan penerbangan transit dari Malaysia ke seluruh Eropah pintu berlepasnya berhampiran dengan surau yang turut dilengkapi bilik wuduk yang selesa.

Pusat beli belah Bicester Village, Oxford

Terkenal di kalangan pelancong Malaysia, bak kata orang tak singgah Bicester Village seperti tidak ke London.

Hanya sejam setengah dari kota London ke sini, lazimnya pelancong akan menghabiskan masa paling minimum setengah hari kerana terlalu banyak kedai berjenama antarabangsa yang mampu mencairkan jiwa.

Mengikut statistik, Malaysia berada di kedudukan ke-5, pengunjung paling ramai ke pusat beli belah ini selepas China, Hong Kong, Kuwait dan India.

Berikutan ramai pengunjung Muslim, pusat beli belah ini turut menyediakan bilik solat yang dikenali sebagai Contemplation Room.

Pihak pengurusan turut menyediakan tandas berhampiran bilik itu yang turut disediakan sinki membasuh kaki bagi tujuan berwuduk.

Pusat beli belah Designer Outlet Parndof, Austria
Mengikut statistik tiga tahun lalu, Islam adalah agama kedua terbesar yang dianuti penduduk Austria.

Justeru tidak hairanlah banyak masjid  di negara ini dan pusat beli belah juga disediakan  bilik solat.



Surau di Designer Outlet Parndof, Austria walaupun kecil tetapi selesa.

Pusat beli belah Designer Outlet Parndof yang terletak kira-kira 50 kilometer dari ibu negara Austria, Vienna turut menyediakan kemudahan surau yang dikenali sebagai Meditationsraum Cotemplation Room.

Lokasinya berhampiran butik Barbour dan Swatch. Pihak pengurusan turut menyediakan sinki di dalam bilik ibadah itu untuk memudahkan pengunjung berwuduk.

Nah, tiada lagi alasan untuk tidak bersolat ketika kembara ke bumi yang penduduk majoritinya bukan Islam. Tepuk dada, tanya iman!

sumber:Mstar

No comments